Mood:
Topic: Website KL Chat Room : 3
Saya masih ingat sikap `unik' (aneh) sesetengah
orang-orang tua kampung dulu-dulu. Ruang di bawah
rumah mereka selalunya diperuntukkan untuk meletakkan
barang usang yang `kurang' atau tidak perlu. Selalunya
botol-botol, tin-tin atau papan-papan buruk. Entah
kenapa semua itu tidak dibuang. Hanya di letakkan
begitu sahaja. Diguna tidak, dibuang pun tidak.
Peliknya, apabila barang-barang `antik' itu hendak
diambil oleh orang lain, cepat-cepat pula mereka
melarangnya. Tak boleh – nak guna, sayang, dan
macam-macam alasan.
Itulah sebuah analogi yang terlintas di fikiran bila
saya ditanya tentang kemarahan umat Islam terhadap
penyiaran karikatur menghina Nabi Muhammad s.a.w oleh
akhbar-akhbar Eropah khususnya Denmark.
"Encik tidak marah?" tanya seorang siswa sehabis
sahaja majlis diskusi tentang topik berkenaan.
"Marah," akui saya perlahan.
"Tak cukup begitu sahaja. Esok kita berarak, bakar
bendera Denmark!"
Saya senyum.
"Kita ada cara yang lebih baik. Ada senjata yang lebih
hebat. Doa," balas saya.
"Kita kena tunjuk kemarahan kepada mereka yang
menghina Rasul."
"Menunjukkan kecintaan kepada Rasul lebih utama."
"Marah itulah tanda kecintaan kita…"
"Betul. Tetapi membuktikan kecintaan dengan
mengamalkan sunnahnya jauh lebih utama."
"Encik takut?"
Saya renung matanya.
"Mengamalkan sunnah Rasul memerlukan lebih keberanian…
Tentangannya lebih hebat. Bahkan daripada orang Islam
sendiri," tusuk saya perlahan.
"Kita bakar bendera mereka!"
"Kita `bakar' cara hidup mereka. Itu lebih relevan."
Giliran dia pula yang diam. Mungkin siswa yang
`terbakar' ini mula mengunyah maksud kiasan saya.
Lalu saya ceritakan analogi awal tadi. Alhamdulillah,
dia mendengar teliti.
"Kita dengan sunnah, seperti orang tua-tua dahulu
dengan barang-barang usang di bawah rumah. Nak
digunakan tidak, nak dijunjung jauh sekali, tetapi
bila ada orang lain nak mengambilnya, barulah heboh
konon nak digunakan."
"Bagaimana kita hendak tunjukkan perasaan marah?"
"Demonstrasi depan manusia. Depan Allah, kita berdoa.
Kita muhasabah, sejauh mana kecintaan kita kepada
Rasul-Nya. Mungkin provokasi Barat membawa pengajaran
tersirat."
"Pengajaran tersirat?"
"Ya, tersirat dari Allah… agar kita menilai semula
benarkah kita mencintai sunnah Rasul-Nya selama
ini."
"Kemarahan ummah inilah buktinya," ujarnya
bersemangat.
"Kemarahan cuma bermusim. Hanya luapan sentimen
berkala. Namun kegigihan, kebijaksanaan, perancangan
dan ketabahan jangka panjang amat perlu."
"Maksud encik?"
Jelas dia terpancing dengan kilasan dan kiasan
kata-kata.
"Jangka panjang, sudahkah kita mendidik generasi muda
mencintai Rasul dan keluarganya? Saya risau generasi
muda yang mabuk hedonisme kini tidak akan punya
kemarahan yang sama seperti yang saudara alami."
"Saya ada kawan-kawan sebaya yang hidupnya lintang
pukang, tapi masih marah bila Rasulullah
dipersendakan. Mereka akan turut berarak esok!"
"Hidup lintang-pukang? Macam mana tu?" tanya saya
minta kepastian.
"Rock habis. Sembahyang tidak. Bergaul bebas biasalah…
tapi cinta mereka terhadap Rasul tak luntur."
"Ajak mereka sembahyang dulu. Tak berarak pun tak apa.
Cinta dulu, marah kemudian. Bila ada cinta, pasti ada
marah bila kecintaan dicela. Tapi kalau marah saja,
belum tentu ada cinta… "
Dia diam lagi. Kali ini diamnya lebih panjang.
"Agaknya orang tua tu marah tak kalau kita ambil
barang-barang berharga di atas rumah?" tanyanya
tiba-tiba.
"Orang tua mana?" tanya saya semula. Hairan.
"Orang tua dalam analogi encik tadi itulah!"
"Soalan tu kurang umph," gurau saya.
"Habis soalan apa yang umph?"
"Agaknya orang berani tak hendak minta barang di atas
rumah? Berbanding barang usang di bawah rumah?" balas
saya.
Termenung lagi dia. Seronok rasanya `membimbing' siswa
ini berfikir. Terimbau luapan semangat saya sewaktu di
kampus dulu. Beginilah pola berfikir saya. .
Tiba-tiba dia bersuara, "tentu tak berani, kerana
barang di atas rumah tentu lebih berharga."
"Begitulah sunnah, jika dihayati, diamalkan dan
diperjuangkan. Ia nampak sangat berharga di tangan
pencintanya. Musuh tak kan berani mengusiknya, apalagi
nak menghinanya…"
"Encik ni, tak sangka ke situ pula kiasannya."
"Kita orang Islam mesti menghormati diri sendiri
terlebih dahulu, barulah orang lain akan menghargai
kita. Justeru, jika kita marahkan musuh yang mengecam
Rasul, marahkanlah juga diri kita yang tidak
benar-benar mencintainya!"
"Dan… bukti cinta amalkan sunnah Rasul. Itulah cara
paling berkesan mempamerkan `kemarahan' kepada
musuh-musuh yang menghinanya."
Alhamdulillah, saya yakin, kini marahnya kerana cinta
bukan kerana benci. Dominasi cintakan Rasul bukan
emosi bencikan musuhnya!
Posted By Krizalid
at 8:09 PM WST